Alhamdulillah. Tarikh hari ini 11 Jan 2019, genap setahun saya hidup dengan lebih daripada seorang isteri. Alhamdulillah kami bertiga bersama 5 orang anak hidup dalam suasana yang damai. Bertolak ansur dan saling melengkapi. Sederhana segala2nya.
Beberapa pengajaran buat saya dan mungkin juga sedikit perkongsian buat rakan-rakan yang mungkin ada hasrat untuk menambah isteri. Semoga Allah sucikan niat kita:
📌0. Wahai Suami, Janganlah Curang
Jika suami ada keinginan untuk menambah isteri. Elakkan berfikir untuk cari dulu atau berkenalan dulu. Kerana ini boleh membawa kepada kecurangan. Ia mungkin bermula dengan niat yang baik, tetapi tiada sesiapa boleh menjamin dirinya dapat bertahan dengan godaan dan bisikan syaitan. Tahanlah diri. Membina sesuatu atas tiang syariat wajib bermula dengan niat dan jalan yang syar’ie.
📌1. Komunikasi Terbaik
Ini semua takkan berlaku dengan harmoni tanpa komunikasi yang baik antara suami dan isteri. Suami yang lebih faham bagaimana berkomunikasi dengan isterinya. Jika komunikasi dengan seorang isteri pun suami tidak berjaya (tidak berani) apa lagi mahu mengendali lebih daripada seorang isteri. Bagi saya ini ukuran pertama.
📌2. Betul Dari Awal
Bermula betul insyaAllah pengakhirannya juga betul. Bersama-sama isteri, fahami proses yang sepatutnya iaitu: proses yang melibatkan pejabat agama, mahkamah syariah dan sebagainya. Sebaiknya manfaatkan institusi yang wujud dalam negara kita. Hadapi semua ini dengan berani dan yakin. Kita bukan melakukan kesalahan (walaupun di akhir proses, mahkamah syariah akan mengeluarkan “saman” kepada pihak suami. Surat saman ni perlu di bawa ke pejabat agama daerah utk kebenaran bernikah, dan proses selanjutnya).
📌3. Dapatkan Nasihat
Kami berjumpa dan mendapatkan nasihat daripada beberapa keluarga yang mengamalkan poligami YANG kelihatan berjaya. Alhamdulillah banyak perkara yang kami pelajari.
📌4. Tidak Menggalakkan
Adakah kami menggalakkan poligami? Sudah pasti tidak. Kami juga tidak memihak jika ada suami atau isteri yang mengadu kepada kami tentang pasangan masing-masing dalam hal berkaitan poligami ini. Nasihat kami semuanya secara umum sahaja. Perkara ini AMAT-AMAT sensitif.
📌5. Sihat
Saya perlu jadi seorang yang sihat. Sihat dari semua aspek: mental, spiritual, fizikal… Makan makanan yang sihat, minum air suam, bersenam, bergerak sana sini. Get active!
📌6. Sabar
Cabaran TERBESAR suami adalah mengendalikan kecemburuan isteri. Sukar saya coretkan perkara ini di sini. Kita semua manusia biasa punya emosi dan perasaan. Cemburu tidak ada kena mengena dengan hal-hal logik atau hal sepatutnya. Tetapi ia berkaitan emosi dan perasaan. Saya kira ia sangat subjektif dan perlu dikendalikan dengan penuh kesenian. Itu sahaja yang boleh saya sebut… ya begitulah.
Cemburu tidak ada kena mengena dengan hal-hal logik atau hal sepatutnya. Tetapi ia berkaitan emosi dan perasaan
📌7. Jangan Lupa
Sebelum akad nikah pada tarikh ini, beberapa pertemuan kami atur bertiga untuk membincangkan “terms & conditions”. Bermula dengan draf pertama kedua seterusnya hinggalah ketiga-tiga kami setuju, akhirnya ia dinamakan “Dokumen Persefahaman”. Di dalamnya ada persetujuan berkenaan: prinsip keluarga, peranan, giliran, kewangan dan sebagainya. Kelihatan mcm remeh dan terlalu ideal?
Jika kita bercita-cita keluarga dan zuriat kita akan MENGUBAH peradaban manusia, ia mestilah bermula dengan DIRI KITA: Suami/bapa/lelaki – “Ar-rijaal qawwamuuna ‘alan nisa’ bima fadhalallaah…”
Moga Allah menerima amal-amal kita sebagai ibadah.
Allahua’lam.